Your Cart

Terma Pada Kekili Shimano

Terdapat banyak terma yang ditulis oleh jenama pengeluar barangan memancing. Sesungguhnya ada teknologi disebalik setiap terma tersebut. Oleh itu, kami kongsikan 5 Terma-terma teknologi yang digunakan pada kekili jenama paling popular dalam dunia memancing iaitu Shimano

Antara terma yang terdapat pada produk kekili Shimano
Antara terma yang terdapat pada produk kekili Shimano

Hagane (HGN)

Hagane bukanlah satu teknologi atau bahan, akan tetapi ianya satu konsep yang dibawa dalam pembikinan produk kekili Shimano. Seawal abad ke- 5 di daerah Sakai, Osaka Jepun, ilmu pembuatan pedang, pisau, senjata api dan lain-lain perkakasan logam kepersisan diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Dari situlah bermulanya kepakaran dan teknologi, inovasi demi inovasi yang membuatkan Shimano menjadi perintis teknologi pembuatan kekili malahan banyak dari inovasi tersebut hanya mampu dicapai oleh Shimano sehingga ke hari ini. Hagane adalah konsep rekaan kekili mereka yang menyasarkan ‘menggulung dengan lancar selama-lamanya’

Micromodule

Micromodule adalah konsep teknologi yang digunakan oleh Shimano pada bahagian gear kekili khas keluaran mereka. Gear yang menggunakan konsep ini lebih seni dan halus dari gear biasa. Kehalusan gigi gear micromodule ini memungkinkan putaran dan hantaran kuasa yang lebih lancar, mengurangkan bunyi dan memberikan kekili yang lebih peka semasa memancing. Semua ini dapat dicapai tanpa mengorbankan kekuatan pada gear. Contoh kekili Shimano yang menggunakan konsep micromodule adalah Stradic FL, Twin Power FD , Curado K dan banyak lagi.

DC

Antara terma yang paling ‘tahyul’ masakini adalah DC iaitu Digital Control. Digital Control bermaksud kawalan digital, ia adalah sistem brek yang menggunakan cip komputer untuk mengira dan mengawal kadar brek semasa kita menghantar gewang. Banyak juga dari kalangan peminat baru hobi memancing salah faham yang bahawa DC itu bermaksud kekili jenis baitcaster atau BC. Ramai juga yang mempunyai tabiat setiap kali bertanya kepada penjual tentang kekili BC “ada bunyi zingg ke bang?” mengharapkan kekili BC yang harga RM90 mempunyai teknologi DC. Shimano menyatakan bahawa teknologi ini membantu pemancing untuk mengurangkan kadar ‘mihun’ dengan pengiraan brek yang pantas menggunakan cip komputer dan ia bukanlah anti ‘mihun’ mahupun anti ‘kumpau’. Untuk mengelakkan ‘backlash’ atau ‘mihun’. Pelbagai faktor perlu diambil kira seperti keseimbangan batang joran, kekili, tali, berat gewang, latihan dan juga kelajuan angin. DC bukanlah penyelesaian magik akan tetapi ia amat memudahkan. DC juga ada pelbagai generasi dan setiap satu ada ciri-ciri yang perlu kita faham sebelum membeli.

MGL

MGL adalah singkatan bagi Magnumlite, ia adalah terma yang digunakan oleh Shimano bagi menerangkan teknologi meringankan satu-satu bahagian dari kekili mereka. Ada beberapa contoh yang boleh kita lihat seperti MGL Rotor, kekili yang menggunakan MGL Rotor dikatakan lebih peka akan dasar, gewang dan gigitan ikan. Manakala MGL Spool pula menggunakan gelendung yang lebih nipis bagi mengurangkan tahap inersia dan mampu menghantar umpan-umpan kecil dengan lebih mudah tanpa mengabaikan kekukuhan binaan gelendung

C14

C14 adalah bahan yang dihasilkan dari campuran karbon dan poliamida. C14 dikatakan mempunyai daya tahan seperti bahan logam akan tetapi ringan. C14+ pula adalah versi yang ditambah baik dari segi keringanan.

Leave a Reply