Your Cart

7 SEBAB MENGAPA KITA HARUS MEMANCING

Sesiapa yang tidak pernah melakukan aktiviti ini pasti tertanya-tanya kenapa kaki pancing sanggup meluangkan masa berjam-jam malah berhari-hari hanya untuk mendaratkan ikan menggunakan joran. Seperti apa sahaja hobi pun pasti ada tarikannya tersendiri. Bagi kami yang memancing ia satu hobi yang dapat mengisi pelbagai ruang dalam meningkatkan kualiti hidup.

1. MELEGAKAN TEKANAN: Tanyalah mana-mana pemancing mengapa mereka memancing. Antara jawapan yang pasti akan mereka berikan adalah “kebebasan”. Berada di tebing tasik indah menunggu pelampung tenggelam di tarik ikan atau berada di atas bot mengilat ikan sambil menghirup udara laut pasti dapat melepaskan kita sebentar daripada tekanan tempat kerja dan kehidupan seharian.

2. KETERUJAAN: Memancing ikan terdiri dari pelbagai cabaran. Antaranya terpaksa menghendap ikan mengambil udara, mengejar kumpulan ikan dan memilih umpan sesuai. Apabila segala penelitian, persediaan, teknik dan taktik kita berjaya menaikkan ikan, pastinya akan memberi satu kepuasan yang tidak dapat dijual beli. Hanya pemancing yang tahu bagaimana rasanya apabila umpan dilarikan ikan.

3. REKREASI: Pepatah moden mengatakan, “Satu hari yang teruk ketika memancing adalah lebih baik daripada hari yang baik di tempat kerja.” Memancing ini sama seperti hobi outdoor lain contohnya memanjat gunung dan berbasikal. Pelbagai kesusahan fizikal dan mental yang perlu kita hadapi. Walaupun berdepan kesukaran, kita tetap akan meneruskannya dengan gembira.

4. MANFAAT KESIHATAN: Apabila memancing mendatangkan keseronokan, keterujaan, menghilangkan tekanan, pastinya kesihatan kita akan bertambah baik. Memancing memerlukan kita beraktiviti secara fizikal terutamanya memancing di hulu sungai atau di tengah laut bergelora dengan teknik jigging dan casting. Satu cara yang baik untuk mengurangkan lemak-lemak di badan.

5. HIDUP BERSOSIAL: Berkongsi rezeki, pengalaman dan ilmu memancing  boleh menguatkan lagi hubungan antara keluarga, jiran dan rakan-rakan. Golongan pemancing juga terkenal antara orang yang cepat berkawan walaupun hanya baru bertemu dan berbual di kedai alatan pancing.

6. PENCINTA ALAM SEKITAR: Pemancing sejati terdiri dari manusia yang menghargai keindahan alam. Mana tidaknya, jika alam sekitar tercemar, mereka akan kehilangan padang pancing berpotensi, malah tangkapan juga akan berkurangan. Pemancing sejati akan berusaha menjaganya demi kelangsungan hobi yang dikasihi mereka.

7. SUMBER REZEKI: Sudah tentulah memancing antara cara tradisional untuk manusia mendapatkan makanan. Jika ikan segar yang dipancing sendiri dan menjadi hidangan keluarga, rasanya lebih enak dan lebih menyihatkan. Malah ikan dipancing selalunya ikan istimewa seperti kerisi bali, keratang dan kelah yang boleh dijual pada harga yang tinggi. Bonus kepada si pemancing.

Leave a Reply