Your Cart

7 FAKTA MENARIK TENTANG IKAN

Masyarakat di masa kini terlibat dengan ikan melalui industri haiwan peliharaan, industri perikanan rekreasi dan penternakan ikan. Ikan juga penting untuk ekosistem laut, tasik dan sungai. Walaupun ikan sering dianggap tidak cerdik dan tiada emosi, mereka sebenarnya, makhluk hidup, yang bermaksud mereka mempunyai perasaan dan dapat mengalami emosi positif dan negatif. Teruskan membaca untuk mengetahui mengapa ikan adalah makhluk yang luar biasa.

1. IKAN JUGA BERSOSIAL

Ikan berinteraksi dan membentuk hubungan antara satu sama lain dengan spesies ikan lain. Sebagai contoh, terdapat banyak spesies ikan yang bertindak sebagai “pencuci” untuk ikan yang lebih besar. Si ‘pencuci’ mendapat makanan dengan memakan parasit ‘pelanggan’ yang lebih besar, dan ‘pelanggan’mendapat manfaat melalui pengurangan parasit. Contoh: ikan tapak kasut menjadi pencuci untuk ikan jerung

2. IKAN ADA INGATAN

Beberapa spesies ikan dapat mengenali dan mengingati manusia yang memberi mereka makanan. Ada ikan yang boleh dipanggil dengan muzik atau bunyi tepukan tangan. Ada penternak ikan menggunakan cara begini ketika mahu memberi makan kepada ikan ternakan mereka. Malah ikan ‘pencuci’, seperti yang dijelaskan di atas, dapat mengenali ‘pelanggan’ tetap’ mereka. ‘Pelanggan’ mereka juga mengingati dan mengenali si ‘pencuci’ khusus mereka. Banyak lokasi-lokasi semulajadi yang kerap di serbu pemancing, ikan-ikannya lebih ‘terpelajar’ dan mengingati helah-helah si pemancing yang cuba menjerat mereka.

3. IKAN BIJAK

Ikan akan mengelakkan situasi yang mereka tahu akan menyebabkan mereka sakit. Ikan yang ‘berpengalaman’ juga bijak mengenal mana satu umpan tiruan dan umpan sebenar. Malah ada ikan yang memburu mangsa menggunakan senjata. Contohnya ikan Sesumpit menggunakan mulut sebagai ‘pistol’ untuk menjatuhkan serangga yang menjadi makanan mereka.

4. IKAN BOLEH BERKOMUNIKASI

Walaupun ikan tidak mempunyai pita suara, mereka tetap unggul dalam berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka melakukannya melalui pelbagai bunyi, bau-bauan, denyutan elektrik dan gerakan. Contoh, ikan Piranha boleh menghalau ikan pemangsa lain dengan bunyi seakan menyalak yang terhasil dari melagakan otot sekeliling pelampung di dalam perutnya. Jika ikan tersebut masih tidak mengendahkannya, si Piranha akan mula menggesel giginya menandakan ia sangat marah.

5. IKAN SANGAT FLEKSIBEL

Ada ikan yang hidup di lautan tapi bertelur di hulu sungai seperti Salmon. Ada ikan yang boleh menukar jantina apabila sampai waktu tertentu seperti Siakap dan Clownfish. Ada ikan yang boleh hidup di air masin, air payau dan air tawar seperti Bull Shark dan Sturgeon. Ada ikan yang boleh bernafas atas daratan seperti Puyu, Belacak dan Keli.

6. IKAN BOLEH BERGERAK DALAM JARAK YANG SANGAT JAUH

Ikan Salmon contohnya, mampu berenang sejauh 3000km dari laut luas ke hulu sungai pergunungan untuk bertelur. Ikan Dorado Catfish di Amazon pula berenang sekitar 11,600km yang mengambil masa sekitar 1-2 tahun untuk sampai ke tempat bertelur mereka di Pergunungan Andes.

7. DERIA LUAR BIASA

Ikan dapat mengesan pergerakan di dalam air melalui deretan deria khas di sepanjang badannya yang disebut garis lateral. Deria ini mengambil gelombang bunyi frekuensi rendah yang bergetar melalui air. Deria lain seperti mata yang besar, misai atau sesungut, hidung yang boleh menghidu dari jarak jauh juga antara deria ikan yang mengkagumkan. Ada ikan yang boleh mengesan medan magnetik melalui sel-sel dalam badan seperti Salmon, Trout dan Paddlefish yang membolehkan mereka pulang ke tempat asal mereka dilahirkan.

Leave a Reply